Sorting by

×

LEBIH 1,000 ATLET TAEKWANDO DARI 6 NEGARA BERENTAP DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TABOH NANING 16 September – Malaysia ITF Invitational International Taekwon-Do Championship (MIITC) Melaka 2025 menarik penyertaan 1,016 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi kejohanan terbesar pernah dianjurkan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, kejohanan ini disertai atlet dari seluruh negeri di Malaysia serta enam negara luar iaitu Nigeria, Korea, Ireland, Hong Kong, Taiwan dan China.

“Kejohanan ini bermula 15 September hingga 18 September, sekali gus memberi peluang kepada peserta menunjukkan kemahiran serta bersaing secara sihat di pentas antarabangsa.

“Ini adalah satu kejohanan yang begitu cemerlang dan merupakan penganjuran terbesar di peringkat antarabangsa di Melaka oleh MITF.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, khususnya seluruh ‘grandmaster’ dari Malaysia serta enam negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan itu di Freeport A’Famosa Outlet Convention Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengelola Kejohanan MIITC, Dr. John Mohd Abdul Rahim.

Menurut Shanmugam, kejohanan tersebut diadakan bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim antara komuniti taekwondo di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Menerusi kejohanan ini, kita dapat bertukar ilmu dan teknik latihan, selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan atlet muda negara,” katanya.

Beliau berkata, jumlah penyertaan terdiri daripada 819 peserta dari Malaysia, 53 dari Ireland, 49 dari China, 50 dari Hong Kong, 30 dari Taiwan, serta enam pengadil dari Ireland.

“Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4770
Kongsi :
Previous post ‘MAT SALIH’ PUJI CARA MELAKA HIDUPKAN ACARA PELANCONGAN
Next post ‘SEMANGAT SINGA’ GEGAR MELAKA MALL