Sorting by

×

MELAKA ANJUR SUKAN KHAS UNTUK ANAK ISTIMEWA BERMULA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TABOH NANING 17 September – Melaka bakal menganjurkan kejohanan sukan khas untuk anak-anak istimewa bermula tahun hadapan sebagai inisiatif memperkasakan penyertaan golongan berkeperluan khas dalam bidang sukan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, langkah itu merupakan keputusan yang dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Ketua Menteri meminta kita menyediakan ruang dan platform sukan khas untuk anak-anak istimewa.

“Dalam masa terdekat, saya akan memanggil semua persatuan yang mempunyai atau menguruskan anak-anak kurang upaya untuk kita bincangkan bentuk penganjuran sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia ITF Invitational International Taekwon-Do Championship (MIITC) Melaka 2025 di Freeport A’Famosa Convention Centre, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengelola Kejohanan MIITC, Dr. John Mohd Abdul Rahim.

Menurut Shanmugam, penganjuran kejohanan itu bagi peringkat awal akan ditentukan berdasarkan jumlah penyertaan yang berjaya dikumpulkan.

“Jika bilangannya besar, kita akan mulakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika masih kecil, mungkin kita akan terus ke peringkat Parlimen.

“Malah, kita juga sedia memperluaskan penganjuran kejohanan itu ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Shanmugam berkata, Kerajaan Negeri juga sedang merangka sukan yang sesuai untuk golongan istimewa itu agar ia benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan fizikal dan sosial mereka.

“Kita juga ada berbincang dengan penganjur kejohanan MIITC bagi membuka peluang kepada anak-anak istimewa menyertai seni mempertahankan diri seperti taekwondo dan karate.

“Dr. John Mohd juga mempunyai hasrat yang sama dan selepas ini saya akan berbincang dengan beberapa ‘grandmaster’ bagi melihat cara terbaik untuk mengaktifkan penyertaan anak-anak istimewa dalam sukan seperti taekwondo,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post TASKA BERDAFTAR DI MELAKA LEBIH SELAMAT, JAMIN PENDIDIKAN AWAL BERKUALITI
Next post LEMAK MANIS, SAJIAN PENYEJUK TEKAK BUAT ‘KAKI CHILL’