
LEMAK MANIS, SAJIAN PENYEJUK TEKAK BUAT ‘KAKI CHILL’
BANDARAYA MELAKA 17 September – Sebuah lagi kafe berkonsepkan santai di Jalan Hang Tuah bakal menambahkan lagi variasi pilihan kepada pengunjung yang mencari pemanis mulut dan penyejuk tekak di tengah kehangatan Bandaraya Melaka.
Berkonsepkan ‘free and easy’ dengan elemen moden kontemporari, kafe yang diberi nama Lemak Manis ini menyajikan pelbagai pilihan minuman ais kacang dengan mengekalkan rasa tradisi.
Antara menu ditampilkan adalah seperti ais kacang gula melaka, air mata kucing, cendol gula melaka, leng chee kang dan banyak lagi.
Tambah istimewa, sajian ‘signature’ seperti ais kacang dan cendol yang disajikan menggunakan gula melaka ‘homemade’ bagi memastikan keaslian dan menepati citarasa masyarakat tempatan.
Bagi mereka yang teringin menikmati manisan pula boleh memesan ais krim roti, banana split mahupun ‘freezy slushy’ dari Lemak Manis.
Selain terletak berhampiran lokasi tumpuan pelancongan, Lemak Manis juga berpotensi menggamit pengunjung dari seluruh peringkat umur terutama pelajar dan pekerja di jabatan kerajaan.
Tambahan lagi, kafe ini mengetengahkan konsep santai, selain pelanggan akan dihiburkan dengan muzik moden dan pop dimainkan ‘DJ’ yang bertugas pada setiap hari Sabtu.

Menurut pemiliknya, Mohd Fauzi Yusoff, kafe ini merupakan cawangan baharu selepas lebih enam tahun mengusahakan perniagaan itu di sebuah pusat membeli belah popular di Melaka.
Kata Fauzi, atas permintaan ramai, pembukaan cawangan baharu itu dianggap sebagai percubaan untuk memberi kelainan kepada industri makanan dan minuman (F&B).
“Kita pilih untuk buka cawangan baharu di Hang Tuah Mall ini kerana mahu menghidupkan kembali kawasan ini.
“Jadi bagi mereka yang ingin ‘chill’ sambil menikmati ais kacang dan cendol istimewa kami, jemputlah datang dan rasai sendiri.
“Kafe ini dibuka dari jam 10.30 pagi sehingga 6.30 petang pada setiap hari kecuali Ahad,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kafe Lemak Manis by Fanthirstic dibuka secara rasmi selepas ia disempurnakan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia merangkap Ketua Bahagian UMNO Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Tetamu yang hadir bukan sahaja dapat menyaksikan detik bersejarah pembukaan kafe ini, bahkan menikmati juadah disajikan termasuk minuman ‘signature’ Lemak Manis iaitu air batu campur (ABC) dan cendol.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.