Sorting by

×

PROMOSI PRODUK DUN KLEBANG SEPANJANG WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KLEBANG 18 September – Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) bermula 27 September ini disifatkan sebagai peluang terbaik untuk mempromosikan produk tempatan dihasilkan usahawan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang ke peringkat antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, kehadiran 159 delegasi asing perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengetengahkan produk DUN berkenaan.

Katanya, usahawan DUN Klebang perlu merebut peluang bakal terbuka sepanjang sambutan acara bertaraf antarabangsa itu kerana bukan mudah untuk membawa delegasi asing berkampung di Melaka.

“Klebang ada pelbagai produk, kita terkenal dengan jambu lohan, cendol, kopi, belacan dan gula Melaka yang dihasilkan sendiri oleh penduduk serta usahawan tempatan.

“Kita amat berharap bersempena WTD 2025 produk tempatan DUN Klebang dipilih sebagai buah tangan atau juadah untuk delegasi yang hadir,” katanya.

Ban Hong berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak dan menyaksikan demonstrasi penggunaan dron di kawasan penanaman padi di Taman Rambai Tengah, semalam.

Menurut Ban Hong, Pantai Klebang yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancongan juga berpotensi untuk dipromosikan kepada delegasi asing mengambil bahagian pada WTD 2025 nanti.

“Justeru itu saya juga akan turun berjumpa peniaga atau pemain industri sekitar DUN Klebang untuk sama-sama kita merebut peluang bersempena sambutan WTD 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post MITF FOKUS CARI PELAPIS ATLET TAEKWONDO
Next post WTD 2025: TIGA BAS ULANG-ALIK DISEDIAKAN UNTUK PENGUNJUNG KE ENCORE MELAKA