Sorting by

×

KECEKALAN MUHAMMAD YUSRI DAPAT PERHATIAN UTEM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 17 September – Kecekalan Muhammad Yusri Yusoff, 23, menyara bapanya yang lumpuh akibat serangan angin ahmar dengan menjual hidangan ‘western’ menerusi dalam talian mendapat perhatian pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Muhammad Yusri yang juga anak keempat daripada lima adik-beradik berkata, bapanya Yusoff Abu Adam, 60, terlantar akibat angin ahmar sejak setahun lalu, sementara itu ibunya Azlina Abdul Aziz, 53, pula suri rumah sepenuh masa.

katanya, bagi menambah pendapatan dia turut melakukan kerja sebagai penghantar bungkusan kiriman sebuah syarikat kurier.

“Sebelum ini saya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam kursus Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Merlimau dengan mencapai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.33.

“Meskipun perlu menjaga ayah dan ibu saya tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di UTeM, saya yakin pendidikan dapat membuka jalan untuk mengubah nasib serta membantu keluarga,” katanya.

Terdahulu anak muda ini menerima kunjungan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin di kediaman keluarganya di Kampung Air Tawar, Melimau, semalam.

Kunjungan itu turut disertai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib.

Massila berkata, kunjungan itu bertujuan menyampaikan surat tawaran kepada Muhammad Yusri bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian.

“Dia diminta melaporkan diri pada 29 September nanti, selain itu Muhammad Yusri turut menerima tawaran Biasiswa Anak Emas UTeM iaitu satu program membantu anak-anak daripada kumpulan B40 menyambung pengajian di UTeM.

“Secara keseluruhan UTeM menawarkan pakej bantuan termasuk wang tunai RM1,500, inisiatif ‘Food Bank’, penginapan asrama hingga tamat pengajian, bimbingan kaunseling dan kerjaya sehingga berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1332
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TINJAU PERSIAPAN AKHIR WTD, WTC 2025