
WTD 2025: TIGA BAS ULANG-ALIK DISEDIAKAN UNTUK PENGUNJUNG KE ENCORE MELAKA
KLEBANG 18 September – Pengunjung yang hadir ke Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada 27 hingga 29 September ini di Encore Melaka akan menikmati kemudahan bas ulang-alik (shuttle bus) yang disediakan setiap hari bagi memudahkan perjalanan ke lokasi acara.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat WTD, Norena Jaafar berkata, sebanyak tiga buah bas disediakan bagi memudahkan pengunjung, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut,
“Bas ini akan membawa pengunjung dari lokasi parkir yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus ke Encore Melaka setiap hari.
“Lokasi parkir serta jadual perjalanan bas akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan pengunjung merancang perjalanan lebih awal,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meninjau persiapan akhir WTD 2025 di Encore Melaka.
Beliau berkata, persiapan untuk WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 kini berada di fasa akhir, termasuk pembukaan ‘war room’ Kerajaan Negeri di Encore Melaka bermula 22 September.
“War Room ini akan menjadi pusat kawalan dan penyelarasan utama sepanjang acara berlangsung.
“Ia membolehkan semua agensi berkumpul bagi memantau perkembangan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya.
Selain itu, Norena berkata pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung sepanjang acara pelancongan dunia itu, termasuk permainan tradisional seperti konda-kondi, congkak, dan dam aji yang akan diadakan pada 27 dan 28 September dengan hadiah wang tunai lumayan.
“Turut menjadi tarikan, Zus Coffee bakal memperkenalkan minuman eksklusif yang hanya ditawarkan sepanjang WTD 2025,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.