
DUA BERANAK MAUT DIPERCAYAI KERACUNAN GAS DALAM KERETA
AYER KEROH, 18 September – Dua beranak ditemui meninggal dunia dipercayai akibat keracunan gas karbon monoksida di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Solok Hilir, Paya Rumput di sini malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Zabanah binti Abu Hussin, 57, dan anaknya Intan Nur Shafiqah binti Othman, 25, masing-masing beralamat di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah ditemukan tidak sedarkan diri dalam kejadian pada jam 12.24 tengah malam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan dua mangsa di dalam kenderaan terbabit.
Katanya, kedua-dua mangsa ditemukan terbaring di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
“Kedua-dua beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Melaka dan mayat mereka dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati kedua-duanya disyaki mati lemas dan ketika ditemui, enjin kenderaan masih hidup dan tingkap dalam keadaan tertutup.
“Difahamkan kedua-dua mangsa dipercayai berhenti di tepi jalan berkenaan untuk berehat dan kami percaya berlaku kebocoran gas dalam sistem kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX Kesidang) di Dewan Bestari di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan keterangan ahli keluarga.
Beliau turut memaklumkan salah seorang mangsa dipercayai OKU dan tidak bekerja, manakala ibu mangsa dipercayai suri rumah.
“Darah kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Kimia untuk semakan dadah, alkohol dan gas karbon monoksida.
“Manakala kenderaan dihantar ke PUSPAKOM untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.