
‘SUMBANGAN KOMPUTER RIBA MAIM AMAT BERMAKNA UNTUK KAMI’
PENGKALAN BATU 19 September – “Sumbangan ini adalah rezeki yang tidak disangka, akhirnya hasrat untuk memiliki komputer riba baharu tercapai,” itu kata Nur Idris Syah Yusri.
Nur Idris Syah, 23, antara 25 penerima bantuan komputer riba untuk asnaf, fakir dan miskin oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, Negeri Sembilan itu, dia menyimpan hasrat untuk membeli komputer riba baharu agak lama kerana keadaan komputer riba sedia ada sudah usang.
“Sebenarnya saya sedang menabung untuk membeli komputer riba baharu memandangkan sejak mula belajar sehingga kini saya menggunakan komputer milik abang.
“Oleh itu saya pasang niat untuk membeli komputer riba baharu dan kini sedang menabung tetapi tidak disangka saya terpilih antara penerima sumbangan.
“Sumbangan ini amat bermakna untuk saya dan Insya-Allah akan manfaatkan sebaiknya selain terima kasih kepada MAIM atas keprihatinan ini,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Laptop Untuk Asnaf, Fakir Dan Miskin MAIM 2025, di Pusat Islam, di sini, semalam.
Terdahulu sumbangan komputer riba itu telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Kompleks Darul Huda MAIM, Mohd Nasir Wahab.

Sementara itu, seorang lagi penerima Fiona Yun Fui Ling, 19, berkata, sumbangan komputer riba dari MAIM besar maknanya buat pelajar yang kurang berkemampuan.
“Nilai RM2,000 satu jumlah yang amat besar justeru itu sumbangan ini amat membantu kerana sebagai seorang pelajar, komputer riba adalah satu keperluan.
“Jujurnya saya amat gembira apabila terpilih sebagai penerima dan terima kasih kepada MAIM kerana menyediakan inisiatif sebegini dalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan,” katanya yang kini sedang menuntut di Akademi Laut Malaysia (ALAM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.