
WTD 2025: KRT GANDING BAHU PASTIKAN MELAKA BERSIH, CERIA
AYER KEROH 20 September – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini khususnya yang berada di kawasan Bandaraya Melaka diseru untuk bersama berganding bahu memastikan kebersihan negeri sepanjang Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, penglibatan KRT amat penting dalam menjaga imej kawasan perumahan komuniti negeri ini sepanjang acara bertaraf dunia itu berlangsung.
Beliau turut berharap KRT di sekitar kawasan pelancongan bukan sahaja dapat membantu bersama-sama menjaga kebersihan, malah turut memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan WTD 2025.
“Kerjasama antara KRT membantu menjaga kawasan ini melambangkan semangat komuniti Melaka yang sentiasa bersatu dalam menjayakan program besar negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Melaka 2025 di Hotel MITC di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abd Azis; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim dan Pengarah Perpaduan Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.