
9 KRT MELAKA JADI MODEL RT PROGRESIF 2025
AYER KEROH 19 September – Sebanyak sembilan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini telah dinobatkan sebagai Rukun Tetangga (RT) Progresif Melaka pada tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, KRT terlibat membabitkan maing-masing tiga di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
Katanya, KRT terlibat adalah KRT Tambak Paya; KRT Rumah Awam Banda Hilir; KRT Paya Rumput Jaya; KRT Taman Mutiara/Sutera; KRT Kampung Pengkalan Balak; KRT Taman Rebana Jernih; KRT Taman Bemban Utama; KRT Taman Maju dan KRT Nyalas.
“Pada tahun lalu terdapat enam KRT yang dipilih sebagai model RT Progresif untuk tahun 2024 dan tahun ini meningkat kepada sembilan RT Progresif.
“Peruntukan yang diterima oleh RT Progresif ini adalah bagi melaksanakan pelbagai program yang merangkumi lapan bidang tumpuan iaitu keselamatan dan ketahanan komuniti, ekonomi dan sara hidup; kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.
“Kerajaan Negeri menghargai peranan jentera perpaduan seperti KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian, perpaduan dan keselamatan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Melaka 2025 di Hotel MITC, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abd Azis; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim; Pengarah Perpaduan Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff serta kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, Hee Sem turut menyampaikan Anugerah Jubli Emas kepada KRT terlibat menerusi empat kategori iaitu Kategori Anugerah Emas RT; Anugerah Sahabat Digital; Anugerah RT Berdaya Maju dan Anugerah Khas Pemimpin Cemerlang pada majlis sambutan terbabit.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata Kerajaan Negeri amat menitikberatkan aspek perpaduan sebagai jaminan kepada kesejahteraan sosioekonomi negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan sebanyak RM900,000 kepada JPNIN Negeri Melaka bagi menggerak dan melaksanakan pelbagai program.
“Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan usaha perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.