
PAMERAN ‘ENRIQUE DE MALACA’ SEMPENA WTD 2025 BERMULA 23 SEPTEMBER INI
KOTA LAKSAMANA 19 September – Orang ramai berpeluang melihat dan memahami dengan lebih mendalam mengenai kisah anak jati Melaka yang diangkat sebagai Wira Laut Dunia menerusi Pameran ‘Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca” yang julung kali diadakan di Encore Melaka, bermula 23 hingga 30 September ini.
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pameran bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 itu menampilkan kisah Enrique de Malaca, anak tempatan yang memainkan peranan penting dalam pelayaran mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16.
Menurut kenyataan itu, antara tarikan utama pameran ialah model patung Enrique de Malaca serta dokumen asal Magellan’s Will bertarikh 1519 yang ditemui di Archivo de Indias (Arkib Negara Sepanyol).
“Dokumen berharga itu mencatatkan nama Enrique sebagai pemuda dari Melaka yang belayar bersama kapal Trinidad.
“Selain itu, turut dipamerkan Rol de la Armada Magellan 1519 iaitu senarai Armada Maluku yang mengesahkan peranan Enrique sebagai jurubahasa atau penterjemah rasmi Magellan,” jelas kenyataan tersebut.
Pameran itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM), Balai Seni Negara (BSN) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
“Pameran ini bertujuan mengangkat Enrique sebagai Wira Laut Dunia yang pintar, berani dan banyak menyumbang dalam ekspedisi bersejarah itu, sekali gus menonjolkan Melaka sebagai pusat maritim bersejarah dunia.
“Pengisian pameran ini juga mampu membina kesedaran sejarah, memperkukuh jati diri bangsa serta mengangkat semula kegemilangan Melaka sebagai kuasa maritim hebat abad ke-15,” katanya.
Pameran dibuka secara percuma kepada pengunjung bermula 23 hingga 25 September dari jam 10 pagi hingga 6 petang, manakala dari 26 hingga 30 September ia dibuka hingga jam 10 malam.
Orang ramai termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) serta agensi kerajaan dijemput hadir bagi menyaksikan pameran julung kali ini yang menampilkan koleksi dokumen bersejarah dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.