
MELAKA PASTIKAN LIPUTAN TELEKOMUNIKASI PANTAS, STABIL SEPANJANG WTD 2025
AYER KEROH 19 September – Liputan telekomunikasi dan jalur lebar pada tahap optimum serta berkualiti turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi menjamin kelancaran sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bagi mengelakkan gangguan liputan, Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi.
Katanya, antara langkah proaktif sudah dilaksanakan setakat ini adalah penganjuran bengkel kesiapsiagaan infrastruktur komunikasi, audit liputan di destinasi pelancongan strategik serta mesyuarat penyelarasan bersama syarikat telekomunikasi Encore Melaka selain Hotel DoubleTree by Hilton.
“Telekomunikasi adalah perkara utama pada masa kini, jadi Kerajaan Negeri melakukan persiapan agar sistem perhubungan lancar, lebih lagi apabila melibatkan acara bertaraf antarabangsa.
“Menerusi kerjasama erat SKMM dan syarikat telekomunikasi kita mahu memastikan tetamu, peserta serta media bertugas menikmati kualiti capaian internet terbaik sepanjang WTD dan WTC 2025 berlangsung,”katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata antara usaha teknikal yang dilaksanakan ialah penempatan sistem ‘5G in a Box’ di Hotel DoubleTree by Hilton dan Encore Melaka bagi menyediakan capaian lebih pantas, stabil dan berkapasiti tinggi.
Selain itu, jelasnya, tiga unit Portable Base Transceiver Station (PBTS) turut ditempatkan oleh CelcomDigi, Maxis, TM Technology Services dan U Mobile sekitar Encore Melaka bagi memperkukuh liputan 4G, khususnya ketika karnival dan majlis gala dinner berlangsung.
“SKMM dan syarikat telekomunikasi juga sudah menjalankan penilaian liputan di lokasi pelancongan utama, pemantauan juga dilaksanakan sebelum, semasa serta selepas acara.
“Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada SKMM dan syarikat telekomunikasi atas usaha penambahbaikan rangkaian, sekali gus memastikan Melaka bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.
“Orang ramai juga disarankan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS untuk membuat aduan berkaitan liputan telekomunikasi. Aduan yang disalurkan melalui aplikasi ini akan membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak MCMC,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.