Sorting by

×

4,500 PESERTA SERBU LARIAN WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA, 20 SEPTEMBER – Seramai 4,500 peserta tempatan dan luar Melaka menyertai Program Larian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 Melaka Heritage Run berlangsung pagi tadi.

Pelepasan peserta larian mengelilingi sekitar Banda Hilir sejauh lima kilometer itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf, ketika berucap, menyambut baik penganjuran program larian tersebut yang disifatkan sebagai pembakar semangat sebelum tirai sambutan WTD 2025 dibuka.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tourism Malaysia, atas sokongan berterusan memacu sektor pelancongan Melaka melalui pelbagai inisiatif dan promosi berimpak tinggi.

“Saya cukup berbangga dan teruja melihat sambutan dan semangat luar biasa daripada lebih 4,500 peserta yang hadir pada pagi ini, mewakili 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka, bahkan, ada juga peserta yang datang dari luar Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Program Larian WTD 2025 Melaka Heritage Run di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan WTC 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) dua tahun lalu memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu tahun ini.

Acara berkenaan dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 September bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post MENGKUANG MELAKA, ANYAMAN WANITA TANJUNG BIDARA
Next post MELAKA KOMITED PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN