Sorting by

×

MELAKA OPTIMIS ‘MERAKYATKAN’ PROMOSI WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA, 20 SEPTEMBER – Kerajaan Negeri Melaka optimis untuk ‘merakyatkan’ promosi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 bagi merancakkan lagi sambutan upacara berprestij itu pada 27 hingga 29 September ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata pihak Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan segala inisiatif promosi yang direncanakan sampai kepada pemain industri dan masyarakat umum.

“Jadi dengan kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di WTD ini nanti, kami di Melaka mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan telah merancanakan beberapa pengisian.

“Kami juga merakyatkan WTD ini bukan hanya melibatkan pemain industri pelancongan tetapi juga kepada orang awam khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui pada Program Larian WTD 2025 Melaka Heritage Run yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa; dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan, beliau memberitahu Kerajaan Negeri sudah siap siaga menyambut sejumlah besar delegasi dari serata dunia pada WTD dan WTC 2025 nanti.

“Jadi daripada segi persiapan, kita di Negeri Melaka ini telah bersedia untuk menyambut tetamu yang akan datang ke negara kita.

“Terima kasih kepada MOTAC dan juga Tourism Malaysia, walaupun kami bersiap sedia tetapi bantuan yang diberikan oleh mereka ini amat membantu kami untuk menjayakan WTD 2025,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1168
Kongsi :
Previous post MPAG CERIAKAN LANDSKAP SAMBUT WTD 2025