Sorting by

×

WTD 2025: MPHTJ SEDIA SAMBUT DELEGASI DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 22 September – Lebih 450 kain rentang termasuk bendera Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 telah dipasang di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pemasangan itu merupakan antara usaha pihaknya menambah kemeriahan WTD dan WTC 2025, selain manifestasi kesediaan menyambut kedatangan tetamu serta delegasi antarabangsa ke Melaka.

Beliau berkata, selain kain rentang bersaiz besar yang dipasang di Melaka Mall, lokasi-lokasi strategik lain seperti tiang lampu di laluan masuk Ayer Keroh turut digantung bendera WTD 2025 dan ucapan selamat datang kepada delegasi.

“Secara keseluruhan, kira-kira 300 helai kain rentang, 100 helai gegantung dan 60 ‘flag beach’ WTD 2025 telah dipasang di dalam kawasan pentadbiran MPHTJ termasuk kain rentang Selamat Datang Delegasi di pintu masuk Ayer Keroh.

“Malah paparan visual berkaitan WTD 2025 dan WTC 2025 juga dipasang di skrin LED Melaka Mall sebagai usaha memberi maklumat kepada orang ramai mengenai penganjuran berprestij itu.

“Ini sebagai persiapan bagi memeriahkan suasana sambutan serta menyambut kehadiran para delegasi dari 159 buah negara ke Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, MPHTJ turut menambah baik keceriaan dan pengindahan di beberapa lokasi antaranya penanaman pokok bunga hiasan, selain menaik taraf pencahayaan.

“Dari sudut pencahayaan kita turut melakukan penambahbaikan membabitkan kawasan di pintu masuk Ayer Keroh sehingga Melaka Mall ini bagi mengindahkan lagi suasana waktu malam,” katanya.

Jelasnya, sepanjang berlangsungnya WTD 2025 dan WTC 2025 , MPHTJ bertindak sebagai jawatankuasa kebersihan, keceriaan dan logistik yang membabitkan kakitangan daripada pelbagai jabatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post UNIT BERKUDA MBMB JADI IKON PELANCONGAN BAHARU
Next post IKON PELAJAR CEMERLANG STAM 2024 MELAKA BAWA HARAPAN KELUARGA DI MESIR