Sorting by

×

IKON PELAJAR CEMERLANG STAM 2024 MELAKA BAWA HARAPAN KELUARGA DI MESIR

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 22 September – Bukan sahaja dinobat Ikon Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024, malah anak jati Alor Gajah ini turut berjaya merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian di Mesir.

Nurul Shuhaidah Zakaria, 19, bersyukur kerana usaha kerasnya selama ini, selain disokong ibu bapa dan guru-guru melayakkannya meraih keputusan cemerlang dalam STAM 2024, seterusnya bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiyah di Al-Ashab.

“Saya berasa gembira dan bersyukur kepada Allah kerana dapat menunaikan impian mak dan ayah saya untuk menyambung pengajian di Mesir.

“Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, tapi saya percaya inilah pengorbanan yang perlu dilakukan demi ilmu.

“Insya-Allah, saya mahu membawa pulang ilmu ini untuk dimanfaatkan di Melaka, khususnya kepada anak-anak muda dan seterusnya membanggakan keluarga,” katanya.

Nurul Shuhaidah ditemui selepas menerima Anugerah Ikon Pelajar Cemerlang STAM 2024 pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Sabtu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, sebagai pengiktirafan atas kecemerlangannya dalam pelajaran dan ketekunannya menuntut ilmu.

Berkongsi rahsia kejayaan, anak muda itu mengakui ia tidak datang dengan mudah, malah menuntut pengorbanan besar termasuk menghabiskan masa pada lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran, menghadiri kelas tambahan dan memperbanyakkan amalan kerohanian.

“Antara usaha yang saya lakukan adalah solat sunat, membaca al-Quran, ulang kaji latihan, dan paling penting mendekatkan diri dengan Allah SWT. Itu semua kunci kejayaan yang patut kita amalkan,” katanya.

Anak kepada Zubaidah De Silva Abdullah, 57, seorang suri rumah dan Zakaria Rahmat, 59, yang bekerja sendiri itu bercita-cita menjadi warga pendidik dalam bidang agama serta menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Dengan dorongan keluarga dan kejayaan ini, saya lebih bersemangat untuk terus belajar dan mencapai cita-cita saya,” katanya.

Shuhaidah kini membawa harapan besar keluarganya, membuktikan bahawa usaha gigih dan keazaman mampu membuka jalan menuju impian yang lebih besar serta memberi manfaat kepada masyarakat pada masa depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post WTD 2025: MPHTJ SEDIA SAMBUT DELEGASI DUNIA
Next post MELAKA BERKEMBANG PESAT SEBAGAI HAB HALAL DUNIA