Sorting by

×

TAK PERLU KE PARIS, MELAKA PUN ADA ‘EIFEL TOWER’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 21 September – Kewujudan menara telekomunikasi yang dihiasi lampu berwarna-warni di Bukit Melaka seolah-olah membawa pelancong dan orang ramai berada di Paris.

Itulah tarikan terbaharu yang dibawakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama Melaka ICT Holdings (MICTH) Sdn Bhd bagi menambah lagi seri Banda Hilir sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, istimewanya menara telekomunikasi itu merupakan sebuah menara yang cukup bersejarah kerana ia dipercayai yang pertama dibina di Malaysia.

Atas faktor itu, jelas beliau, menara berkenaan diberi satu nafas baharu menerusi pencahayaan 118 lampu pixel berwarna-warni selain 24 lampu sorot (spot light), sekali gus memberi satu lagi nilai tambah kepada sektor pelancongan Melaka.

“Secara tidak langsung, ia menjadi satu lagi nilai tambah baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka bagi menyaksikan sendiri satu menara telekomunikasi yang cukup bersejarah di negara ini.

“Selain Bukit Melaka, menara telekomunikasi bercahaya ini juga boleh dilihat dengan jelas dari perkarangan Bangunan Stadthuys dan orang ramai boleh bergambar berlatarbelakangkan menara ini pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 dan Majlis Pelancaran Kolaborasi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Bersama Zuss Coffee @ Sungai Melaka di Hard Rock Cafe, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan, bersempana WTD 2025, MBMB turut melancarkan Unit Berkuda Pelancongan yang akan ditempatkan di lokasi penganjuran acara bertaraf dunia itu nanti bertujuan memastikan keselamatan tetamu dunia yang hadir ke Melaka.

Pada masa sama, jelas beliau Unit Berkuda Pelancongan MBMB itu juga akan ditempatkan di sekitar Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir pada setiap malam minggu dan hari kelepasan am.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post BAJET 2026: MELAKA ALU-ALUKAN SUARA, PANDANGAN ANAK MUDA