Sorting by

×

WTD 2025: HIMPUN 3,000 PENARI ZAPIN, MELAKA BAKAL PECAH REKOD BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 22 September – Melaka bakal memecahkan rekod baharu negara menerusi himpunan ribuan penari zapin di atas satu pentas sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi ‘Flashmob’ Tarian Zapin WTD 2025 itu, ia bukan sahaja menghimpunkan ribuan penari dari seluruh Malaysia, bahkan turut membabitkan negara serumpun.

Jelas beliau, ia sekali gus menjadi satu sejarah baharu dalam mempamerkan keunikan seni dan budaya nusantara kepada tetamu dari seluruh dunia.

“Penari-penarinya bukan sahaja dari dalam negara bahkan turut negara serumpun seperti Indonesia, Brunei dan Thailand yang akan berkomunikasi dalam satu bahasa seni iaitu tarian zapin.

“Semua ini akan kita persembahkan kepada delegasi seluruh dunia yang hadir dan ia juga bakal memecahkan Malaysia Book Of Records (MBOR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 dan Majlis Pelancaran Kolaborasi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Bersama Zuss Coffee @ Sungai Melaka di Hard Rock Cafe, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, meskipun pada awalnya, sasaran yang ditetapkan adalah 1,000 penari, namun kini angka tersebut difahamkan telah mencecah 3,000 penari.

Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan komitmen tinggi anak-anak seni di negara ini yang komited mahu melestarikan seni dan budaya supaya ia terus diwarisi generasi akan datang.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post SELAT MELAKA JADI SAKSI PELANCARAN GILANG-GEMILANG VM 2026
Next post WTD 2025 PENTAS ANGKAT KISAH ANAK MELAKA, WIRA LAUTAN DUNIA