Sorting by

×

WTD 2025 PENTAS ANGKAT KISAH ANAK MELAKA, WIRA LAUTAN DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 22 September – Hari Pelancongan (WTD) 2025 bakal menjadi medan untuk memperkenal dan mengangkat nama anak kelahiran Melaka yang telah menjadi manusia pertama mengelilingi dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, figura itu adalah Panglima Awang atau lebih dikenali sebagai Enrique de Malaca.

Jelas beliau, bersempena WTD 2025, Kerajaan Negeri bakal meluncurkan Pameran ‘Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca’, sekali gus mengisytiharkan kehebatan anak Melaka kepada orang ramai dan delegasi dari seluruh dunia.

“Menerusi pameran ini, kita akan memaparkan dokumen-dokumen sejarah seperti manuskrip asal catatan Ferdinand Magellan pada abad ke-16 yang menunjukkan bahawa manusia pertama mengelilingi dunia adalah anak Melaka iaitu Panglima Awang atau dikenali sebagai Enrique de Malaca.

“Kita akan luncurkan penemuan baharu ini dalam satu pameran yang diadakan selama seminggu di Encore Melaka bermula 23 hingga 30 September dan masuk adalah percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 dan Majlis Pelancaran Kolaborasi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Bersama Zuss Coffee @ Sungai Melaka di Hard Rock Cafe, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, sebelum ini, sejarah-sejarah kehebatan Melaka telah banyak terlindung disebabkan pelbagai faktor termasuk penjajahan.

Oleh sebab itu, di bawah pentadbiran beliau, kisah-kisah kehebatan Melaka yang ditemui menerusi kajian yang dijalankan akan diangkat kembali sebagai usaha untuk meluruskan kembali sejarah yang pernah terpesong.

“Justeru, saya menjemput orang ramai khsususnya rakyat Melaka untuk datang dan menyaksikan pameran menarik ini supaya kita dapat menyelami dan mengambil inspirasi daripada kehebatan wira lautan dunia ini,” tambah beliau.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post WTD 2025: HIMPUN 3,000 PENARI ZAPIN, MELAKA BAKAL PECAH REKOD BAHARU
Next post ‘COFFEE & CRUISE’ JADI TARIKAN BAHARU SUNGAI MELAKA