
‘COFFEE & CRUISE’ JADI TARIKAN BAHARU SUNGAI MELAKA
BANDA HILIR 22 September – Menikmati secawan kopi sambil menelusuri Sungai Melaka menjadi satu lagi tarikan baharu yang bakal diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Sungai Melaka.
Ia menerusi kolaborasi strategik bersama syarikat kopi terkemuka negara, Zuss Coffee yang telah memilih Melaka sebagai negeri pertama untuk memperkenalkan pakej ‘Coffee & Cruise’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pakej terbaharu itu diperkenalkan buat julung kalinya sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
Jelas beliau, kerjasama itu bukan sekadar membuka peluang perniagaan, tetapi satu inovasi pelancongan gaya hidup yang berupaya memperkukuh jenama Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia.
“Menerusi pakej eksklusif Coffee & Cruise @ Sungai Melaka sempena WTD 2025 ini, pengunjung dapat menikmati pelayaran menelusuri Sungai Melaka sambil menikmati kopi premium Zus Coffee pada RM35 seorang.
“Istimewanya, pakej ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Tahniah PPSPM dan Zus Coffee.
“Kolaborasi ini menandakan komitmen kedua-dua pihak menjayakan WTD 2025 dan pada masa sama membawa pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Road To World Tourism Day (WTD) 2025 dan Majlis Pelancaran Kolaborasi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Bersama Zuss Coffee @ Sungai Melaka di Hard Rock Cafe, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, setiap tahun, lebih 1 juta pengunjung telah direkodkan menaiki Melaka River Cruise, sekali gus menjadikannya antara produk pelancongan ikonik yang terus menjadi pilihan utama pelancong dalam dan luar negara.
“Angka besar ini menjadi pemangkin Zus Coffee memilih pengiklanan di badan bot Melaka River Cruise sebagai platform promosi strategik, selain turut membuka Kios Zus Coffee di Jeti Muara Sungai Melaka yang merupakan sebuah lokasi ikonik dalam kawasan pengiktirafan UNESCO.
“Saya percaya kolaborasi ini akan menghidupkan lagi kawasan pelancongan ini bukan sahaja kepada pengunjung luar, tetapi warga tempatan,” katanya.
Sementara itu, Shaharul Azuar memaklumkan, pakej berkenaan boleh dibeli di kios yang disediakan di Jeti Muara Sungai Melaka dan Jeti Taman Rempah bermula 26 September ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.