
WANITA WARGA EMAS MAUT DILANGGAR KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA
KESIDANG 23 September – Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Sutera, Batu Berendam, semalam.
Dalam kemalangan pada jam 7.45 malam itu, Choo Ng Lan, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda (4X4) berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dari arah Batu Berendam menuju ke Durian Tunggal.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu 4×4 gagal mengelak yang mangsa melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
“Pemandu sempat mengelak ke kanan, namun terlanggar juga mangsa di bahagian hadapan kiri kenderaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Kenderaan pacuan empat roda itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri dan dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Rembia, Alor Gajah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.