
USAHA MBMB NAIK TARAF LONGKANG SELESAIKAN MASALAH BAU BUSUK
PENGKALAN BATU 24 September – Masalah bau busuk akibat aliran air longkang tersumbat diselesaikan, penduduk pula menikmati suasana persekitaran lebih sihat, ceria dan kondusif.
Itu adalah antara faedah dinikmati penduduk di Taman Bachang Utama, khususnya Jalan Bachang Utama 5, di sini, selepas kerja naik taraf sistem longkang dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Cakna dengan permasalahan penduduk MBMB melaksanakan kerja naik taraf longkang sepanjang 130 meter itu menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Penduduk E Gandhi Madhi, 52, berkata sebelum ini dia dan jiran di lorong berkenaan kerap dihantui masalah bau busuk berpunca daripada longkang yang tersumbat di belakang kediaman mereka.
“Laluan air kecil dan sempit jadi kerap tersumbat hingga menyebabkan bau busuk, jika hujan lebat air melimpah tetapi mujur tidak mengalir ke dalam rumah.
“Longkang baharu ini saiznya lebih besar jadi kurang berisiko akan tersumbat, aliran air pula lancar, terima kasih kepada MBMB kerana prihatin dengan masalah penduduk,” katanya.
Suri rumah itu ditemui selepas lawatan turun padang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, pada Isnin.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Ng Sooi Fu, 64, tinggal di taman perumahan itu sejak 20 tahun lalu meluahkan perasana lega selepas kerja menaik taraf longkang berkenaan selesai.
“Tebing longkang yang runtuh turut menyebabkan aliran air tersekat. Langkah diambil MBMB amat efisien, saya juga tertarik dengan rekaan longkang yang lebih moden, nampak lebih sistematik, diharap kemudahan ini akan memberikan keselesaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara Kalsom berkata, inisiatif itu adalah antara usaha bagi menangani masalah banjir kilat dan kerja naik taraf pula melibatkan skop kerja melebarkan longkang kepada saiz 0.45 meter x 0.45 meter
“Menggunakan peruntukan daripada KPKT kerja menaik taraf dimulakan Mei lalu dan siap sepenuhnya pada Ogos, alhamdulillah semua berjalan lancar.
“Menerusi pelbagai usaha yang giat dijalankan sama ada oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri khususnya, masalah banjir kilat terutamanya sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.