
SEMUA PIHAK PERLU CAKNA ASPEK KEBERSIHAN, KESELAMATAN MAKANAN
AYER KEROH 23 September – Seiring dengan status sebagai sebuah negeri pelancongan terkemuka, Kerajaan Negeri mahu semua pihak mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu demi menjamin kepuasan dan meningkatkan lagi keyakinan pelancong yang memilih Melaka sebagai destinasi percutian mereka.
“Atas dasar itu, pemerkasaan Program Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) diberi tumpuan dan menjadi antara inisiatif penting.
“Kita mahu memastikan penyediaan makanan selamat, berkualiti dan berdaya saing khususnya melibatkan lokasi tumpuan pelancong,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 Anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di Auditorium Kompleks CMI, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Datuk Abdul Azis dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.
Menurut Ab Rauf, sebanyak 237 premis makanan seluruh Melaka telah menerima pengiktirafan BeSS setakat Julai tahun ini manakala dua premis terpilih menerima Anugerah Medan Selera Bersih dan Selamat 2024 bagi peringkat kebangsaan.
“Justeru, Kerajaan Negeri menaruh harapan tinggi agar segala inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) terus diperkukuh dan diperluas khususnya berkait dengan aspek pensijilan, pengiktirafan dan perlesenan.
“Untuk itu saya menyeru komitmen semua agar memainkan peranan penting, memperkukuh usaha menjamin màkanan yang selamat dan bersih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.