
MELAKA SASAR 2 JUTA PELANCONG KESIHATAN TAHUN HADAPAN
BANDA HILIR 23 September – Fasiliti canggih, tenaga pakar berpengalaman dan disokong kemudahan perubatan berteknologi tinggi yang terkini mampu membantu Melaka mencapai sasaran dua juta orang pelancongan kesihatan sepanjang tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aplikasi teknologi terkini secara tidak langsung meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan ditawarkan di beberapa pusat perubatan swasta beroperasi di negeri ini.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, perkembangan semasa itu juga akan membantu Melaka mencapai status sebagai hab pelancongan kesihatan utama di Malaysia melibatkan pelawat domestik dan antarabangsa.
“Melaka ketika ini memiliki fasiliti kemudahan canggih termasuk pelancaran Hinotori Sistem Pembedahan Robotik Pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Jepun. Kita ucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pusat Perubatan Mahkota kerana berjaya memperkenalkan teknologi pembedahan robotik ini.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, lebih 70 pembedahan robotik telah dijalankan di sini dengan kejayaan tinggi, termasuk 37 prosedur pembedahan urologi,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program First Hinotori in Malaysia: Championing The Next Era of Robotic-Assisted Surgery di Pusat Perubatan Mahkota, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mahkota Medical Centre (MMC), Chin Wei Jia.
Menurut Ab Rauf, teknologi moden seperti pembedahan robotik mampu meningkatkan keyakinan pesakit dan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi rawatan kesihatan pilihan.
“Dengan adanya pelaburan baharu dan inovasi terkini, pelanggan akan lebih yakin untuk mendapatkan rawatan di Melaka. Ini juga menjadi faktor penting dalam mengukuhkan industri pelancongan kesihatan yang menjadi penyumbang utama ekonomi negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.