
30,000 DIJANGKA SINGGAH KE PAMERAN ‘PANGLIMA AWANG’
KLEBANG 24 September – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyasarkan seramai 30,000 pelawat akan singgah ke Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca@ Panglima Awang di Admiral Hall, Encore Melaka.
Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, pameran dari 23 hingga 30 September itu menampilkan keunikan tersendiri kerana ia berasaskan kajian serta dokumentasi yang diperoleh dari Sepanyol.
“Pameran ini diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk memperkenalkan Enrique de Malaca, tokoh pelayar pertama mengelilingi dunia yang berasal dari Melaka.
“Kami mahu pengunjung bukan sahaja melawat tetapi juga menghayati sejarah dan mengenali tokoh ini dengan lebih mendalam,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di sini, semalam.
Menurutnya, pameran ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi persekutuan termasuk Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara, Perpustakaan Negara serta Balai Seni dalam penyediaan bahan pameran.
Erne berkata, pameran yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu mengetengahkan kisah Enrique yang sebelum ini lebih dikenali melalui penulisan sasterawan Harun Aminurrashid sebagai Panglima Awang.
“Sebenarnya Enrique dan Panglima Awang adalah orang yang sama, cuma nama asalnya tidak disebut dalam mana-mana dokumen. Berdasarkan kajian, nama yang tercatat ialah Enrique de Malaca,” katanya.
Beliau yakin sasaran 30,000 pengunjung akan dapat dicapai meskipun pameran diadakan luar musim cuti sekolah, susulan promosi yang giat dijalankan melalui pelbagai saluran termasuk media sosial.
“Kami harap masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur akan datang bersama-sama untuk mengenali tokoh wira laut dunia yang akan kita angkat sebagai ikon sejarah dari Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.