Sorting by

×

‘COACH’ TINGKAT INTEGRITI, KETAHANAN PEGAWAI KASTAM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 24 September – Projek Container AKMAL Challenge (CoACh) yang diperkenalkan Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) merupakan inovasi latihan berkonsepkan cabaran fizikal dan mental.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, CoACh dirangka untuk membentuk pegawai kastam berjiwa kental, berani dan berintegriti.

“CoACh bukan sekadar medan menguji kecergasan, tetapi juga platform membentuk karakter, daya tahan mental, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

“Projek ini dirangka dalam bentuk simulasi dengan empat fungsi utama iaitu sebagai platform latihan selamat dan tersusun, pembangunan sahsiah, simulasi operasi bertekanan tinggi, medium refleksi diri untuk menilai potensi serta memperbaiki kelemahan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Pembangunan Projek CoACh dan Pelancaran Buku Wira Wirawati Kastam di AKMAL Bukit Baru, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin Shah disambut Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abdul Rahman.

Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Nazrin Shah adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco, Timbalan Exco wakil jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, keunikan CoACh terletak pada pendekatannya yang menggabungkan cabaran fizikal seperti ruang gelap, sempit dan tekanan masa, sementara itu cabaran mental pula melibatkan kebolehan membuat keputusan yang pantas, strategi serta kerjasama pasukan.

“Pada majlis ini juga Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku Wira Wirawati Kastam sebagai penghargaan kepada pegawai dan anggota JKDM yang berani serta tabah dalam menjaga pintu masuk serta sempadan negara.

“Buku ini bukan sahaja mendokumentasikan kisah inspirasi dan pengorbanan mereka, tetapi menjadi rujukan dan motivasi kepada seluruh warga JKDM untuk terus bersemangat serta berani dalam melaksanakan amanah dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post SULTAN NAZRIN SHAH BERKENAN RASMI PROJEK COACH, LANCAR BUKU WIRA WIRAWATI KASTAM
Next post KEBAKARAN KILANG DI SENAI BONGKAR AKTIVITI MAKMAL PROSES, EDAR DADAH