Sorting by

×

WTD 2025 PELUANG PPSPM PROMOSI PELANCONGAN AIR MELAKA KEPADA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 25 September – Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang bakal menggegarkan Melaka hujung minggu ini menjadi peluang terbaik untuk mempromosikan produk-produk pelancongan menarik negeri bersejarah ini kepada dunia.

Ia memandangkan acara berprestij tersebut bakal disertai menteri pelancongan serta delegasi termasuk pengamal media dari 159 buah negara, sekali gus bakal meningkatkan visibiliti Melaka ke satu tahap lebih tinggi.

Antara yang mahu memanfaatkan peluang tersebut adalah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik berasaskan air.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, bersempena Karnival WTD 2025, pihaknya akan membuka reruai di lokasi utama penganjuran iaitu Encore Melaka bagi mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan mereka antaranya, Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi, Eco Cruise Tasik Chin Chin, Melaka Sea Cruise dan lain-lain.

Malah, ujar beliau, delegasi WTD 2025 juga bakal diberi peluang menikmati pelayaran menarik di Sungai Melaka dan Sungai Linggi bagi membolehkan mereka melihat keindahan dan keunikan negeri ini.

“Selain itu, kita juga mahu memperkenalkan pakej Cruise MADANI kepada delegasi dan pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang WTD 2025 kerana menerusi pakej ini, pengunjung bertuah berpeluang membawa pulang sebuah kereta, dua buah motosikal serta pelbagai hadiah menarik lain.

“Syaratnya dengan hanya berbelanja RM50 bagi mana-mana produk ‘cruise’ di bawah PPSPM dan pemenangnya akan kita umumkan hujung tahun ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaharul Azuar, bersempena WTD 2025 juga Melaka River Cruise telah memperkenalkan pakej ‘Coffee & Cruise’ menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat kopi terkenal tempatan.

Jelas beliau, pakej tersebut ditawarkan bermula RM25 hingga RM45, di mana, ia membolehkan pengunjung menikmati pelayaran dengan pemandangan indah Sungai Melaka sambil menghirup kopi segar, sekali gus menjadikannya yang pertama diperkenalkan di negara ini.

“Selain itu, tidak lama lagi juga, kita bakal membangunkan sebuah kios kafe terapung yang pertama di Melaka bersama syarikat kopi ini yang akan berada di Pengkalan Rama.

“Perancangan ini dijangka akan bermula pada tahun depan, bagi menambah lagi tarikan pelancongan baharu di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post ‘PENTAS ATAS SELAT MELAKA’ BONGKAR KEHEBATAN, KEAGUNGAN BUMI BERSEJARAH
Next post MASUK PERCUMA KE MELAKA WONDERLAND SEMPENA BULAN KELAHIRAN