Sorting by

×

‘PENTAS ATAS SELAT MELAKA’ BONGKAR KEHEBATAN, KEAGUNGAN BUMI BERSEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KLEBANG 25 September – Melaka bakal melakar satu lagi sejarah baharu apabila menjadi negeri pertama membina sebuah pentas terapung bertaraf dunia di atas Selat Melaka.

Keunikan itu antara yang bakal mewarnai Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pada Sabtu ini, yang diadakan bersekali dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, idea tersebut diilhamkan bagi menonjolkan Selat Melaka yang mempunyai pelbagai kisah dan nilai sejarah, selain ia menjadi laluan perdagangan yang penting sejak dahulu hingga kini.

Menurut beliau, selain elemen sejarah, pentas itu juga bakal mengetengahkan keunikan seni dan budaya negara menerusi pelbagai persembahan menarik yang pastinya akan memukau tetamu yang hadir, termasuk delegasi pelancongan dari 159 buah negara.

“Jadi pada acara kemuncak itu nanti (Sabtu malam), kita mahu menghargai tetamu dunia yang terdiri daripada menteri pelancongan dan delegasi dari seluruh dunia supaya mereka dapat menyaksikan kehebatan Melaka dan sejarah silamnya yang akan kita bongkarkan pada malam itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simbolik Penyerahan Kereta Honda EV sempena WTD 2025 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, meskipun masih berbaki dua hari lagi sebelum acara sebenar, Melaka telah menunjukkan kesediaan penuh sebagai tuan rumah WTD dan WTC 2025.

Menurut beliau, segala persiapan kini berjalan lancar, selain raptai penuh persembahan akan diadakan bagi melihat segala aspek yang boleh diberi nilai tambah sebelum tibanya majlis sebenar nanti.

Terdahulu, Ab Rauf bersama barisan Exco Kerajaan Negeri sempat meluangkan masa hampir satu jam bagi meninjau persiapan pentas terapung yang sedang dibina.

Malah, beliau juga turut menyantuni pelajar-pelajar yang mengadakan lawatan ke Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique De Malaca di lokasi sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post WTD 2025: MELAKA TERIMA 25 KERETA ELEKTRIK
Next post WTD 2025 PELUANG PPSPM PROMOSI PELANCONGAN AIR MELAKA KEPADA DUNIA