
MELAKA TUAN RUMAH TECHLYMPIC KEBANGSAAN NOVEMBER INI
TABOH NANING 26 September – Melaka bakal mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai tuan rumah Techlympic Kebangsaan 2025 yang dijadual berlangsung pada November ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu dijangka bakal menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari seluruh negara.
Katanya, penganjuran di peringkat kebangsaan itu menjadikan Melaka sebagai pusat tumpuan utama pelajar, belia dan komuniti teknologi yang akan bersaing dalam pelbagai kategori pertandingan, selain memperlihatkan keupayaan negeri ini sebagai hab inovasi dan digital.
“Pemilihan Melaka membuktikan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan negeri ini menganjurkan acara berprestij berteraskan teknologi.
“Kita telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah pada tahun lalu, namun tujuan itu diangkat pada tahun ini.
“Lebih 5,000 peserta dari semua negeri akan berhimpun di Melaka pada November ini, yang mana mereka bukan sahaja untuk bertanding, malah bertukar pandangan, mencipta idea baharu serta menonjolkan bakat dalam bidang teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 di Dewan Lestari UniKL MICET, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar; Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi UniKL, Prof. Dr. Kushairy Abdul Kadir serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan oleh pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kerajaan Negeri bagi membincangkan perincian program tersebut.
Jelasnya, kelainan penganjuran pada tahun ini juga masih di peringkat perancangan, di mana ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan memaklumkan perkara ini lebih menyeluruh memandangkan program ini merupakan program bertaraf kebangsaan.
“Pada program ini juga Melaka dijangka memecahkan rekod sebelum ini apabila akan menghantar penyertaan teramai.
“Lebih penting, ia akan membina keyakinan generasi muda bahawa bidang teknologi adalah masa depan mereka dan Melaka berbangga menjadi platform kepada lahirnya bakat baharu negara,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.