Sorting by

×

WTD 2025: TIADA JALAN DITUTUP, ORANG RAMAI DINASIHATI RANCANG PERJALANAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 26 September – Tiada penutupan jalan dilakukan sepanjang sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC).

Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketetapan itu dibuat bagi memberikan keselesaan kepada rakyat dan pengguna jalan raya di negeri ini bagi mengelakkan sebarang masalah kesesakan.

Beliau bagaimanapun menasihati semua pengguna dan rakyat negeri ini agar merancang perjalanan, khususnya di lokasi sambutan memandangkan ada beberapa laluan bakal menjadi laluan protokol untuk kenamaan.

“Untuk laluan kenamaan, ada beberapa telah kita tetapkan sebagai laluan protokol. Jika perlu penutupan sekalipun, ia hanyalah dalam tempoh yang singkat sahaja.

“Jadi, rakyat tidak perlu gusar mengenai kesesakan lalu lintas kerana kita juga akan pastikan lencongan-lencongan jalan yang dibuat dapat membantu penyuraian trafik.

“Cuma, nasihat saya kepada rakyat Melaka dan pelancong yang ingin ke Melaka hujung minggu ini, rancanglah perjalanan dan patuhi arahan anggota polis bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam segmen Kokenut Shake Special Bersama Ketua Polis Melaka di MelakaFM yang bertajuk Persiapan dan Aspek Keselamatan WTD 2025.

Menurut Dzulkhairi, sepanjang WTD dan WTC 2025, lebih 700 anggota polis membabitkan kesemua jabatan akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran acara pelancongan dunia itu.

Jelas beliau, selain anggota beruniform, anggota tanpa uniform juga akan berada di setiap lokasi terlibat bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan.

“Untuk WTD 2025 ini, Polis Melaka telah membuat persiapan awal lebih enam bulan lalu dan sudah pasti kita tidak mahu ada sebarang insiden tidak diingingi berlaku.

“Malah, sepanjang acara ini juga kita membuka bilik gerakan selama 24 jam di lokasi utama penganjuran, selain perjalanan setiap delegasi dunia yang hadir juga dirancang sebaiknya,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post PERKESO KELUARKAN 125 KOMPAUN, 93 PENDAKWAAN DI MELAKA
Next post SAMBUTAN WTD, WTC 2025 BUKA TIRAI