Sorting by

×

PERKESO KELUARKAN 125 KOMPAUN, 93 PENDAKWAAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TABOH NANING 26 September – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka mengeluarkan 125 kompaun yang keseluruhannya bernilai RM80,000 serta melaksanakan 93 pendakwaan terhadap majikan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu meningkat berbanding 90 kompaun keseluruhannya bernilai RM53,500 dan 58 pendakwaan pada tahun lalu.

“Sebanyak 93 majikan yang didakwa di mahkamah tahun ini melibatkan pelbagai kesalahan dan kebanyakannya berkaitan kegagalan majikan membuat caruman PERKESO bagi melindungi pekerja, selain kelewatan atau kegagalan mendaftar pekerja.

“Penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin,” katanya selepas merasmikan Program Jalinan Mesra PERKESO bersama Media Melaka 2025, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Melaka, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir.

Sementara itu, Hee Sem memaklumkan bahawa PERKESO negeri telah menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM17.29 juta kepada 5,895 penerima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, Faedah Hilang Upaya Sementara mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM9.43 juta melibatkan 4,367 kes, diikuti Hilang Upaya Kekal sebanyak RM5.26 juta (447 kes).

“Selain itu, Faedah Orang Tanggungan membabitkan 21 kes dengan bayaran RM37,999, Pencen Ilat sebanyak RM329,367 (168 kes), manakala Skim Pencen Penakat melibatkan RM545,914 untuk 315 kes.

“Bagi Faedah Perubatan, sebanyak 577 kes direkodkan dengan jumlah bayaran RM1.68 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post PAKEJ EKSKLUSIF, TAWARAN ISTIMEWA DI VISIT MALAYSIA TRAVEL MEET 2025 MITC
Next post WTD 2025: TIADA JALAN DITUTUP, ORANG RAMAI DINASIHATI RANCANG PERJALANAN