Sorting by

×

PAKEJ EKSKLUSIF, TAWARAN ISTIMEWA DI VISIT MALAYSIA TRAVEL MEET 2025 MITC

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 26 September – Visit Malaysia Travel Meet (VMTM) 2025 menjadi medan pertemuan strategik kira-kira 200 pempamer dari pelbagai segmen industri bagi mempromosikan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Monaharan Periasamy berkata, ia termasuklah agensi pelancongan, homestay (inap desa), ‘glamping’, syarikat penerbangan, hotel serta lebih 20 reruai makanan.

Katanya, acara itu bukan sahaja berfokuskan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) tetapi turut membuka ruang perniagaan-ke-pengguna (B2C) yang membolehkan orang awam mendapatkan pakej pelancongan eksklusif pada harga istimewa.

“Lebih 250 pembeli tempatan daripada sektor korporat seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), insurans, minyak dan gas, pendidikan, borong, pembuatan serta koperasi turut dijemput.

“VMTM bukan sekadar pameran, tetapi platform untuk penggiat industri berhubung terus dengan pembeli dan komuniti tempatan sambil membuka peluang baharu dalam memasarkan destinasi pelancongan setiap negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian VMTM 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurutnya, matlamat utama VMTM adalah memperkenalkan Malaysia secara lebih meluas kepada rakyat tempatan dan antarabangsa dengan mengetengahkan keunikan setiap negeri.

“Malaysia mempunyai kelebihan seperti masyarakat berbilang kaum, kos perjalanan yang berpatutan dan pengalaman budaya yang unik.

“Dengan inovasi digital serta produk pelancongan yang mampan, kita mampu menarik pelancong baharu dan memastikan mereka kembali ke Malaysia,” katanya.

Ujarnya, VMTM juga menyokong Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang menekankan kemampanan, integrasi dan daya saing demi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post MINYAK WANGI DAUN PANDAN HARUMKAN NAMA SK NYALAS
Next post PERKESO KELUARKAN 125 KOMPAUN, 93 PENDAKWAAN DI MELAKA