KANAK-KANAK DIHANYUTKAN ARUS DERAS DITEMUI TERSANGKUT PADA DAHAN POKOK
MASJID TANAH 27 November — Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, petang tadi ditemukan meninggal dunia pada jam 8.35 malam tadi.
Mayat kanak-kanak berkenaan ditemui tersangkut pada dahan pokok oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Ketua Zon 2 JBPM Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada dahan pokok di dalam longkang yang dipenuhi sampah-sarap, kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Dahan pokok dan timbunan sampah menyekat pergerakan mayat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan lima pegawai dan 14 anggota, termasuk 10 anggota PPDA dari JBPM Melaka.
Katanya, operasi itu menggunakan kaedah ‘rapid deployment approach’ berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.
“Operasi itu memerlukan pencarian permukaan (surface water searches) dilakukan segera bagi mengelakkan mayat hanyut lebih jauh.
“Selepas kira-kira dua jam setengah operasi, mangsa berjaya ditemui oleh anggota PPDA Masjid Tanah dan Melaka Tengah,” katanya.
Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan kanak-kanak berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi dan dihanyutkan arus deras menuju kawasan tadahan akibat hujan lebat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

