
DAPAT ILHAM KETIKA PKP, JAMBU LOHAN SOLOK GAUNG KINI JADI REBUTAN
AYER MOLEK 16 Disember – Minat berbudi kepada tanah dan niat mahu membantu pihak pengurusan sebuah masjid menjana pendapatan mendorong Jahari Abdul, 52, mengusahakan tanaman jambu lohan yang kini menjadi rebutan ramai.
Bekas juruteknik ini berkata, ilham untuk mengusahakan tanaman itu timbul kerana kebosanan akibat pergerakan terbatas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.
Katanya, dia kemudian meminta kebenaran daripada pihak pengurusan masjid berkenaan bagi mengusahakan sebidang tanah wakaf untuk tanah perkuburan Islam yang ketika itu dalam keadaan terbiar serta dipenuhi semak samun.
“Selepas dapat kebenaran pihak masjid saya memulakan proses menanam 200 anak pokok jambu lohan dengan modal keseluruhan sebanyak RM5,000 ditapak seluas 0.4 hektar. Ketika PKP saya nampak pertanian adalah satu-satunya aktiviti boleh menjana pendapatan.
“Jambu lohan dipilih kerana sebelum ini pernah bekerja di kebun mengeluarkan buah berkenaan, jadi tidak kekok kerana sudah ada pengalaman.
“Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan, tanah terbiar kini dalam keadaan kemas, malah hasil tuaian dikutip membantu pihak masjid, tidak perlu lagi keluarkan belanja dianggarkan sekitar RM300 ke RM400 bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui ditemui di Solok Gaung.
Jahari berkata, setiap minggu dia memungut hasil sekitar 100 hingga 150 kilogram (kg) yang dipasarkan pada harga RM5 satu kg.
“Berat buah dikutip pula sekitar 800 gram dan boleh mencedah hingga 1.3 kg sebiji. Alhamdulillah pasaran tidak ada masalah, meskipun ada peraih minta untuk beli sehingga 500 kg setiap minggu saya lebih selesa untuk jual terus kepada pelanggan.
“Sudah pasti akan ada cabaran tetapi itu perkara biasa untuk jambu musuh utama adalah serangga, tetapi saya mengelakkan daripada menggunakan racun. Saya pilih untuk kawal kehadiran serangga dengan memastikan kebun sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih.
“Jadi kena keras juga potong rumput untuk memusnahkan sarang pembiakan serangga yang menyerang bokok serta buah jambu,” katanya.
Paling menggembirakan Jahari adalah, kebun diusahakan secara tidak langsung membantu rakan dalam kalangan B40 menjana pendapatan dengan mengambil upah membungkus jambu dan melakukan kerja pembersihan.
Dia yang turut menerima bantuan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berhasrat memajukan kebun diusahakan itu sebagai lokasi tarikan pelancongan, sekali gus mempromosikan Kampung Solok Gaung.
“Jika ada yang berminat untuk mengusahakan tanaman jambu lohan khususnya anak muda atau golongan B40 saya sedia membantu dan memberi bimbingan kerana berbekalkan usaha bidang pertanian ini boleh menjadi sumber rezeki, sekali gus menjamin masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


