
JURUTEKNIK KILANG KINI MENUAI REZEKI DI LADANG JAGUNG
JASIN 17 Disember – Bermula dari kosong tanpa sebarang pengalaman bertani, bekas juruteknik kilang ini kini mampu mengemudi sebuah koperasi sehingga berjaya mengusahakan ladang jagung berskala besar dan memenuhi permintaan pasaran semakin meningkat.
Pengerusi Koperasi Komong Jasin Berhad, Badrul Hisham Mohamad Yusof berkata, kejayaan tuaian pertama jagung di ladang kedua koperasi itu di Kampung Rim menjadi satu pencapaian bermakna selepas melalui pelbagai cabaran.
Menurutnya, ladang berkeluasan 28 ekar itu kini ditanam jagung mutiara di kawasan antara 22 hingga 24 hektar dengan anggaran 10,000 batang pokok jagung bagi setiap hektar.
“Kalau kita tanam 24 hektar, anggaran hasil adalah sekitar 240,000 tongkol jagung. Ini merupakan musim pertama tuaian di ladang ini dan alhamdulillah, hasilnya memberangsangkan.
“Hasil tuaian dihantar sepenuhnya kepada syarikat ladang kontrak, namun permintaan pasaran amat tinggi jauh melebihi kemampuan pengeluaran pihak kami.
“Meskipun sudah buka ladang baharu hasil masih belum mencukupi untuk menampung permintaan kontrak,” katanya ketika ditemui di ladang jagung tersebut, di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini ladang diusahakan tidak berdepan sebarang bencana besar kecuali gangguan daripada haiwan liar seperti babi hutan yang masih boleh dikawal.
“Tempoh matang jagung mutiara adalah sekitar 70 hari selepas ditanam, gred A berat antara 450 gram, gred B antara 300 hingga 400 gram dan gred C lebih kecil, kita jual ikut tongkol, bukan tan.
“Tenaga kerja penuaian pula melibatkan enam hingga tujuh orang pekerja yang telah diberikan penerangan dan latihan untuk mengenal pasti gred jagung hanya dengan memegang tongkol,” katanya.
Mengimbas perjalanan hidupnya, Badrul berkata dia sebelum ini bekerja selama 15 tahun sebagai juruteknik di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia perkilangan.
“Saya langsung tiada pengalaman bertani, namun segalanya berubah apabila kampung saya menyertai Program Desa Lestari di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan memenangi Anugerah Desa Sejahtera Satu Malaysia.
“Sebagai syarat projek ekonomi, kami perlu menubuhkan koperasi dan lahirlah Koperasi Komong Jasin Berhad,” katanya.
Koperasi itu menerima peruntukan hampir RM800,000 bagi pembangunan infrastruktur dan tanaman, namun operasi terjejas akibat pandemik COVID-19 sebelum kembali aktif pada penghujung 2020 dengan pembukaan ladang pertama di Kampung Chinchin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


