Sorting by

×

MELAKA TETAPKAN HAD MASA OPERASI PREMIS HIBURAN, BENDUNG MASALAH SOSIAL

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Melaka menetapkan had masa bagi operasi premis hiburan di negeri ini dalam usaha membendung gejala sosial, khususnya dalam kalangan anak muda.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu juga penting demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum.

Jelas beliau, penetapan had waktu bagi premis hiburan itu perlu difahami semua pihak bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan atau salah tafsir terhadap dasar Kerajaan Negeri.

“Setakat ini, kita ada menerima beberapa permohonan daripada pengusaha premis hiburan untuk melanjutkan waktu operasi, namun kita tidak memberikan kelulusan.

“Had masa yang ditetapkan adalah sebahagian daripada langkah mengawal aktiviti berkenaan beroperasi secara tertib dan pada masa sama dapat menjaga keharmonian serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MHPTJ) 2035 (Penggantian), di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr. Saidin Lateh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Mengulas lanjut, Rais berkata, ketetapan had masa itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Lesen yang dipengerusikannya dengan setiap permohonan dibawa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing sebelum dipertimbangkan secara menyeluruh.

Katanya, jawatankuasa berkenaan meneliti pelbagai jenis permohonan lesen membabitkan rumah urut, pusat urut tradisional, pusat bekam, pusat sukan seperti futsal dan pickleball, selain premis makanan yang mempunyai elemen hiburan, sebelum perkara itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput memaklumkan, setakat ini hanya kawasan Melaka Raya sahaja dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi pada hujung minggu dan ia tertakluk kepada jenis lesen hiburan yang diluluskan.

“Kebenaran ini hanyalah untuk kawasan Melaka Raya pada hujung minggu dan permohonan untuk beroperasi setiap hari masih belum diputuskan.

“Bagi pengusaha di luar kawasan Melaka Raya, termasuk Kota Syahbandar, perkara ini masih dalam penelitian dan mereka tidak dibenarkan beroperasi melebihi had waktu ditetapkan selagi belum menerima kelulusan rasmi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1367
Kongsi :
Previous post UNIMEL LAKSANA INISIATIF MOBILITI HIJAU, KAMPUS LESTARI
Next post FORUM 1 JIWA 1 IMPIAN PERKUKUH UKHUWAH ORANG MASJID TANAH