Sorting by

×

MPHTJ PACU BANDAR MAMPAN, BERDAYA HUNI, BERDAYA SAING 2035

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 19 Disember – Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2035 (Penggantian) akan memastikan pembangunan bandar terus dipacu secara lebih mampan, berdaya huni dan berdaya saing menjelang tahun 2035.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, draf itu bukan sekadar dokumen perancangan guna tanah sebaliknya instrumen perancangan strategik yang mencerminkan aspirasi Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membentuk pembangunan bandar yang tersusun, seimbang serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, dalam konteks perancangan yang lebih menyeluruh draf itu telah mengenal pasti kekuatan dan potensi kawasan MPHTJ bermula daripada Laporan Analisis dan Strategi Pembangunan sehingga terhasilnya laporan akhir yang komprehensif.

“Justeru itu sebanyak enam teras pembangunan, 33 strategi, 77 subjek serta 281 komponen telah dirangka merangkumi aspek sumber alam semula jadi, ekonomi tempatan, kebolehdayaan bandar serta tahap ketersediaan kemudahan serta fasiliti.

“Lebih penting lagi, draf ini turut menggariskan 42 projek ‘quick-win’ yang berjaya dilaksanakan dalam jangka pendek dan juga kadar segera bagi memberikan manfaat langsung kepada penduduk termasuk mewujudkan impak awal ketara terhadap landskap perancangan serta pembangunan di kawasan MPHTJ.

“Malah sebanyak 38 cadangan strategik, 116 cadangan utama dan 48 projek sokongan turut dikenal pasti sebagai projek peneraju pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MHPTJ 2035 (Penggantian), di sebuah hotel, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr. Saidin Lateh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Menurut Ketua Menteri, selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), MPHTJ telah memberi ruang kepada orang awam untuk meneliti, memahami dan mengemukakan pandangan serta bantahan yang berasas terhadap kandungan Draf Rancangan Tempatan berkenaan.

“Dimaklumkan platform ini dibuka selama empat minggu bermula 4 hingga 31 Disember ini membabitkan tiga lokasi tumpuan iaitu Lobi MPHTJ; Lobi Wisma Negeri Melaka dan Pejabat Projek Zon Selatan Aras 7, Menara Persekutuan Melaka.

“Komitmen ini menandakan langkah proaktif MPHTJ dalam memastikan suara rakyat terus diterjemah dalam setiap pelan pembangunan menuju Melaka sebuah bandar yang maju, sejahtera dan lestari,” katanya.

Tambah beliau, matlamat di Melaka amat jelas dan tuntas apabila Kerajaan Negeri bertekad untuk terus membina bandar mahupun kawasan desa yang sejahtera, merancakkan ekonomi yang berdaya saing, memakmurkan rakyat serta memastikan setiap pembangunan berpaksikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post FORUM 1 JIWA 1 IMPIAN PERKUKUH UKHUWAH ORANG MASJID TANAH
Next post MEDIA MELAKA BANTU TINGKAT KEYAKINAN ANAK MUDA, IBU BAPA DALAM TVET