Sorting by

×

PENUTUPAN SEMENTARA ‘FAST LANE’ LEBUH AYER KEROH HINGGA 19 FEBRUARI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 9 Januari – Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal berikutan gangguan trafik sementara susulan penutupan lorong laju (fast lane) di sebahagian Lebuh Ayer Keroh (Jalan Tun Abdul Razak).

Penutupan lorong itu bakal berlangsung selama dua minggu bermula semalam (8 Januari) hingga 19 Februari depan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Tengah dalam kenyataan memaklumkan penutupan sementara itu melibatkan satu lorong sepanjang kira-kira 500 meter di Lebuh Ayer Keroh FT143 Seksyen 4.50, dari kawasan Kilang Mamee hingga lampu isyarat Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC).

Jelasnya, penutupan itu bagi pelaksanaan Projek Penjajaran Semula Median Jalan untuk penambahan bahu jalan selebar dua meter.

“Penutupan median ‘fast lane’ tersebut akan dilaksanakan selama 24 jam sepanjang tempoh enam minggu bermula 8 Januari hingga 19 Februari 2026, bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan dengan selamat dan lancar.

“Bagaimanapun, pelaksanaan kerja akan dilakukan di luar waktu puncak iaitu dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang serta 11.59 malam hingga 5.00 pagi, melibatkan hari Isnin hingga Jumaat sahaja,” memetik kenyataan yang dikeluarkan di laman facebook rasminya.

613177494 1185532650420715 8633974426376017051 n
LOKASI terlibat dan laluan alternatif yang boleh digunakan.

Mengulas lanjut, JKR Melaka Tengah memaklumkan, antara skop kerja yang terlibat termasuk penyediaan tapak, kerja-kerja pengorekan dan pengalihan utiliti serta lampu jalan, pembinaan dan naik taraf jalan, pemasangan ‘kerb’, penurapan semula jalan serta kerja-kerja kemasan akhir.

Berikutan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif yang disediakan iaitu melalui Jalan Muzaffar Shah dan Jalan Ayer Keroh Lama (M29) bagi mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat.

“Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, papan tanda amaran dan pemberitahuan akan dipasang di lokasi strategik dan penjaga bendera dan petugas trafik juga ditempatkan bagi mengawal aliran kenderaan, terutama melibatkan pergerakan jentera dan kenderaan berat keluar masuk kawasan pembinaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda keselamatan serta arahan petugas trafik sepanjang tempoh penutupan berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2740
Kongsi :
Previous post 200 ANAK-ANAK MACHAP JAYA DAPAT MANFAAT GUNTING RAMBUT PERCUMA
Next post MAIM RINGANKAN BEBAN MANGSA KEBAKARAN