
BATIK MELAKA ‘MADE IN’ FELDA HUTAN PERCHA TAWAN DUNIA
MACHAP JAYA 16 Januari – Komuniti Felda Hutan Percha berganding bahu memartabatkan seni warisan tempatan dengan mengusahakan penghasilan Batik Melaka sebagai usaha memelihara identiti budaya negeri Hang Tuah ini.
Mengetengahkan motif roda kereta lembu dan bunga rasmi Negeri Melaka iaitu bunga kesidang, dua elemen ini yang begitu simbolik dengan Melaka ini menjadi identiti kepada pengeluaran batik di kampung berkenaan.
Menariknya, penghasilan Batik Melaka ini diusahakan oleh kira-kira 15 penduduk dan kebanyakan mereka adalah suri rumah yang sebelum ini langsung tidak mempunyai pengalaman dalam penghasilan batik.
Berbekalkan minat dan kesungguhan, tempoh masa kira-kira seminggu diberi bimbingan serta perkongsian ilmu oleh pihak Kraftangan Melaka digunakan sebaiknya sehingga mereka kini mampu menguasai teknik penghasilan batik.
Penasihat Bengkel Komuniti Batik Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, inisiatif ini bermula apabila Kraftangan Melaka mencari kampung yang ingin menghasilkan batik dan peluang itu digunakan sebaiknya kerana melihat ia mempunyai potensi besar.

“Bermula dengan sehelai kain putih akhirnya komuniti ini mampu menghasilkan pelbagai corak batik dengan mengetengahkan motif roda kereta lembu dan bunga kesidang.
“Setiap seorang daripada kami mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam memastikan kelancaran penghasilan batik ini bermula dari terap corak, bancuhan warna sehinggalah menjahit pakaian.
“Kini selepas empat bulan, kami berjaya menghasilkan kira-kira 30 produk batik antaranya kemeja lelaki, baju kanak-kanak, blazer, baju wanita serta cenderamata, malah lebih menarik pelanggan kami terdiri daripada pelancong luar negara antara England, Jepun, Finland dan Jepun,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Hutan Felda Percha berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Makmal Pembangunan Dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1, di Balai Raya Felda Hutan Percha, di sini.

Menurutnya, gerak kerja komuniti yang begitu komited menjayakan penghasilan Batik Melaka buatan Felda Hutan Percha ini terus membuahkan hasil apabila menerima jemputan untuk menyertai festival di Singapura.
“Jualan sehingga kini amat menggalakkan ini dapat dilihat menerusi penyertaan di Festival Kraf Johor 2025 dan dua karnival lain apabila produk batik yang dibawa disukai pelanggan.
“Malah kita juga telah dipanggil untuk bermesyuarat bersama Komuniti Batik Singapura untuk festival jualan sempena hari raya.
“Ini membuatkan kami begitu teruja kerana peluang ini bukan sahaja dapat memperkenalkan seni warisan menerusi batik tetapi mempromosikan Melaka khususnya Felda Hutan Percha sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Jelasnya, usaha yang dilakukan ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat membantu suri rumah mendapat kemahiran tambahan, malah boleh menjana pendapatan untuk keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


