Sorting by

×

KAMPUNG MORTEN, PERMATA WARISAN YANG MASIH BERNYAWA

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

KAMPUNG Morten, nama yang tidak lagi asing bagi pecinta sejarah. Di sebalik kesibukan kota Bandaraya Melaka, kampung ini teguh berdiri sebagai Kampung Warisan yang digelar ‘Muzium Hidup’.

Menjangkau usia lebih satu abad, kampung ini bukan sekadar tempat tinggal tetapi di sinilah sejarah dan warisan Melayu terus dipelihara, kekal utuh dan bernyawa.

ASAL-USUL KAMPUNG MORTEN

Kampung Morten ditubuhkan pada tahun 1922 sebagai penempatan baharu bagi penduduk yang berasal dari Kampung Jawa. Sebahagian kawasan Kampung Jawa telah diambil-alih oleh pihak kerajaan untuk pelaksanaan pembangunan, menyebabkan mereka terpaksa keluar berpindah ke kawasan yang ketika itu dipenuhi dengan hutan bakau dan nipah.

Salah seorang yang meninggalkan kampung itu ialah Datuk Othman Md Nor, merangkap penghulu Kampung Jawa.

Save 20260220 231535
IBRAHIM

Menurut Ibrahim Hashim, 86, cucu kepada Datuk Othman, perpindahan tersebut dipimpin oleh datuknya yang berusaha mencari kawasan baharu yang sesuai untuk menempatkan penduduk Kampung Jawa.

Beliau kemudiannya menemukan kawasan tersebut, namun tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membangunkan penempatan baharu sehinggalah beliau mendapatkan pinjaman sebanyak $10,000 daripada dana khas kerajaan melalui Pesuruhjaya Tanah dan Hasil British, Frederick Joseph Morten.

Menurut Ibrahim, hasil dana berkenaan, sebanyak 100 lot tapak rumah diagihkan kepada penduduk yang berpindah.

“Walaupun datuk saya bertindak sebagai penjamin penuh pinjaman tersebut, namun beliau tidak berhasrat menamakan kampung ini atas namanya sendiri. Setelah perbincangan bersama penduduk lain, kampung ini akhirnya dinamakan Kampung Morten, sempena Frederick Joseph Morton yang membantu meluluskan pinjaman bagi pembangunan penempatan berkenaan.

“Sebagai penghargaan atas jasa membangunkan Kampung Morten, jalan yang mengelilingi Kampung Morten dinamakan sebagai Jalan Persiaran Dato’ Othman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20260220 230832 292
JALAN Persiaran Dato’ Othman. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

KEUNIKAN KAMPUNG MORTEN

Salah satu keunikan kampung ini adalah pada namanya. Meskipun ‘Morten’ kedengaran berunsurkan Inggeris, namun denyut nadi kampung ini kekal seratus peratus orang Melayu sehingga kini.

Menurut Ibrahim, jumlah penduduk tidak ramai iaitu sekitar 700 orang membabitkan berkeluasan kira-kira 5.02 hektar.

“Hasil usaha bersama masyarakat setempat, Kampung Morten menerima sekitar 1,000 pengunjung setiap bulan dengan 65 hingga 70 peratus daripadanya terdiri daripada pelancong luar negara,” tambahnya.

Salah seorang penduduk, Nurul Shahaira Ahmad, 34, menyifatkan Kampung Morten sebagai kampung yang unik kerana setiap deretan rumah di sini menampilkan pelbagai jenis seni bina tradisional hasil usaha gigih penduduk menjaga warisan.

“Setiap rumah di sini berbeza, masing-masing mempamerkan seni bina tradisional yang unik. Penduduk kampung pula seperti satu keluarga besar dan bersepadu antara satu sama lain.

“Saya bangga kerana identiti kampung ini masih terpelihara, mesra alam dan banyak kedia jadi mudah diakses pelancong,” katanya.

Img 20260220 230905 748
ANTARA seni bina rumah di Kampung Morten yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Seorang lagi penduduk, Mohd Daud Mohd, 58, berkata, walaupun tradisi dan warisannya masih kekal bernyawa, Kampung Morten juga tidak ketinggalan dalam arus kemodenan dan kemajuan.

“Dahulu kawasan Kampung Morten ini sunyi tetapi alhamdulillah kini telah lebih maju dan tersusun. Saya tetap bangga kerana kampung ini unik dengan mengekalkan warisan dan sejarahnya dengan baik,” katanya.

Jelaslah, Kampung Morten bukan sekadar sebuah perkampungan, tetapi sejarah, identiti dan legasi yang perlu dipelihara.

Kejayaan kampung ini mempertahankan nilai tradisi dalam arus pembangunan moden membuktikan bahawa kemajuan tidak semestinya mengorbankan warisan, sebaliknya, kedua-duanya mampu berjalan seiring bagi memastikan sejarah terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Kongsi :
Previous post MAIM SEDIA PENGINAPAN UNTUK ANAK MELAKA DI MESIR, SEWA HANYA RM20 SEBULAN
Next post KEBIMBANGAN PENDUDUK KINI BERAKHIR