Sorting by

×

PPDK ‘DUYONGKITA’ DIJANGKA BEROPERASI JUN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 25 Februari – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DUYONGkita akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan potensi dan bakat anak-anak autisme di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, dalam tempoh tiga tahun kehadapan, PPDK DUYONGkita akan memfokuskan aspek pendidikan, kemenjadian serta pencarian kelebihan dimiliki anak-anak istimewa di Duyong.

“Sebelum ini PPDK biasanya melibatkan pelbagai kategori ketidakupayaan. Namun bagi PPDK DUYONGkita, kita khususkan kepada anak-anak autisme sahaja supaya intervensi lebih berfokus dan berkesan.

“PPDK DUYONGkita akan memuatkan seramai 20 anak istimewa dengan operasi awal dirancang selewat-lewatnya Jun 2026 di salah sebuah taman dalam kawasan Duyong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohd Noor Helmy turut menegaskan bahawa penglibatan ibu bapa merupakan syarat penting terhadap kejayaan PPDK tersebut.

“Sebahagian latihan dan intervensi boleh dibuat di PPDK, namun ada juga yang perlu diteruskan di rumah. Kejayaan anak-anak autisme ini sangat bergantung kepada kerjasama ibu bapa.

“Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan NGO dan agensi berkaitan.

“Jawatankuasa PPDK DUYONGkita juga akan disertai dua doktor pakar kanak-kanak, terapis serta sukarelawan yang mempunyai minat mendalam terhadap pembangunan anak-anak istimewa,” katanya.

Katanya, PPDK tersebut bukan sekadar projek jangka pendek, sebaliknya akan dilaksanakan berdasarkan satu pelan tindakan (blueprint) yang menyeluruh.

“Saya sendiri akan mengetuai PPDK DUYONGkita dan kita akan membangunkan satu pelan tindakan yang boleh diguna pakai secara berterusan demi masa depan anak-anak autisme di Duyong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post FOOD RESCUE ‘SELAMATKAN’ LEBIHAN MAKANAN BAZAR RAMADAN
Next post TIADA KLUSTER TIBI DI MELAKA, ORANG RAMAI DINASIHATKAN SENTIASA BERWASPADA