
MELAKA NEGERI KEDUA TERBAIK INDEKS PERPADUAN RAKYAT
AYER KEROH 24 Februari – Melaka berjaya melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai negeri kedua terbaik dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia selepas negeri ini mencatat skor 0.816 dalam IPNas seperti diumum oleh Kementerian Perpaduan.
Jelas Ketua Menteri, IPNas merupakan satu-satunya indeks rasmi Kerajaan Malaysia dalam mengukur tahap perpaduan rakyat.
“Skor 0.816 yang dicatatkan ini berada pada tahap perpaduan tertinggi, sekali gus melepasi sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, ia adalah gambaran jelas keberkesanan tadbir urus Kerajaan Negeri yang inklusif, dasar pembangunan yang menyeluruh serta komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Melaka.
“Kita percaya bahawa perpaduan tidak terbina dengan kata-kata, tetapi diterjemahkan dengan inisiatif Kerajaan Negeri, kebersamaan, kebajikan dan hubungan erat di antara pemimpin serta rakyat. Inilah asas kekuatan negeri kita,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Tambah Ab Rauf, pencapaian itu juga sekali gus mencerminkan makna sebenar ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa).
“MeSRa bukan sekadar slogan, tetapi prinsip pentadbiran yang memastikan setiap suara didengari, setiap kaum diraikan dan setiap komuniti disantuni.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang menjadi tunjang kepada kejayaan ini. Perpaduan yang kita bina hari ini adalah jaminan kemakmuran negeri pada masa hadapan. Bersama kita pertahankan keharmonian ini,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


