
LEAD, WYF METERAI MOU ANGKAT SUARA PEKERJA GIG MELAKA
BUKIT KATIL 25 Februari – Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) dan World Youth Foundation (WYF) memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai usaha mengangkat suara pekerja bebas, khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.
Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik itu memfokuskan kepada pemerkasaan pekerja gig seperti pengamal media, pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
Katanya, jalinan kerjasama itu merupakan langkah proaktif memastikan peranan dan kebajikan belia terus diberi perhatian.
“Melalui jaringan dan platform antarabangsa dimiliki WYF, suara serta program melibatkan belia tempatan akan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Masjid Sayyidina Ali, di sini, semalam.
Terdahulu program itu dirasmikian oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Pengerusi Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat; Presiden Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG Melaka) Amelia Tamby serta Pengarah Kolej Komuniti Jasin Mohd Kelana Juid serta kenamaan lain.
Terdahulu, pada program tersebut Mohd Ridhwan mewakili WYF menandatangani MoU bersama Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) yang diwakili Presidennya Abdul Hakim Abdul Rani.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata MoU itu turut berperanan sebagai jambatan menghubungkan suara anak muda tempatan dengan komuniti global.
Jelasnya, pendekatan tersebut membuka peluang kepada belia berkongsi pandangan, mengetengahkan inovasi serta terlibat dalam agenda pembangunan mampan di peringkat antarabangsa.
“WYF merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan berstatus afiliat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus membuka ruang kepada belia membawa idea dan inisiatif mereka ke pentas global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


