Sorting by

×

PENGENDALI MAKANAN DI MELAKA SEMAKIN MATANG, CAKNA ASPEK KEBERSIHAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

LENDU 25 Februari – Pengendali makanan termasuk peniaga pasar Ramadan di negeri ini semakin matang dan amat mengutamakan aspek kebersihan barangan jualan yang ditawarkan kepada pengguna.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, menerusi Op Ramadan 2026 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan melaksanakan pemantuan di seluruh pasar Ramadan.

Katanya, selain itu pemeriksaan turut dilakukan di 33 hotel dan dua restoran yang menawarkan bufet Ramadan selain tujuh kilang ais sekitar negeri ini.

“Berdasarkan pemantuan dijalankan kita amat berpuas hati dengan tahap kebersihan, majoriti premis mencapai markah 86 dan keatas, ini adalah satu perkembangan yang amat positif.

“Namun masih ada kesalahan dikesan melibatkan 10 kes dengan jumlah kompaun keseluruhan berjumlah RM2,400 namun setakat ini tidak ada mana-mana premis diarahkan tutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Kempen ‘Perhati dan Pilih’ Sempena Ramadan Tahun 2026 di Tapak Pasar Ramadan Pekan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengarah (Keselamatan & Kualiti Makanan) Dorothy Dayang Henry Sum.

Hee Sem berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan juga bertujuan memastikan pengendali rantaian bekalan makanan dan minuman di negeri ini mematuhi aspek kebersihan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post LEAD, WYF METERAI MOU ANGKAT SUARA PEKERJA GIG MELAKA
Next post BOMBA MELAKA KONGSI REZEKI, CERIAKAN RAMADAN KELUARGA B40