
MPAG PASTIKAN PENIAGA PASAR RAMADAN CAKNA KEBERSIHAN, KUALITI MAKANAN
LENDU 27 Februari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kesemua 13 pasar Ramadan di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan khususnya membabitkan aspek kebersihan.
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan peniaga-peniaga menitikberatkan aspek kebersihan dan kualiti makanan.
Menurut beliau, pemantauan berkala akan dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam memberi nasihat kepada peniaga, di samping kesedaran kepada orang ramai mengenai kebersihan makanan.
“Antara lokasi yang telah kita adakan pemantauan dan walkabout adalah di Pekan Masjid Tanah yang merupakan antara penganjuran pasar Ramadan terbesar di bawah MPAG.
“Menerusi inisiatif ini, kita memberi nasihat dan kesedaran bukan sahaja kepada peniaga tetapi juga kepada pengunjung untuk bersama-sama memastikan aspek kebersihan diberi perhatian.
“Untuk pengunjung, kita turut menasihati mereka agar memilih makanan yang berkhasiat dan benar-benar bersih agar mengelakkan sebarang kemudaratan kepada kesihatan mereka sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin pada Program Imarah Ramadan MPAG 2026 Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di hadapan Balai Bomba Masjid Tanah, Jalan Solok Duku, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli serta lain-lain kenamaan.
Menurut TPr. Saifuddin, edaran bubur lambuk itu merupakan antara program diatur pihaknya bersama bomba dalam mengimarahkan Ramadan tahun ini menerusi program berkonsep kongsi rezeki.
Jelas beliau, lebih 2,000 bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Jalan Solok Duku, Masjid Tanah dan pada 3 Mac, program sama akan diadakan di Dataran Keris, Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


