Sorting by

×

DUA MAUT KEMALANGAN KERETA DI JALAN SERKAM–BEMBAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

JASIN 27 Februari – Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Serkam–Bemban, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 6.50 petang melalui Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Bemban menghala ke Serkam dan sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Serkam menghala ke Bemban bersama dua penumpang.

“Turut berada dalam Proton Wira ialah seorang penumpang wanita berusia 74 tahun yang juga ibu kepada pemandu serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan adik kepada pemandu.

“Siasatan awal mendapati Perodua Bezza berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan menyebabkan Proton Wira tidak sempat mengelak sebelum berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara, pemandu Proton Wira mengalami kecederaan di bahagian tangan dan luka-luka, manakala penumpang wanita warga emas dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan di Zon Merah dan seorang lagi penumpang lelaki mengalami kecederaan di bahagian dada.

“Pada jam 9.30 malam, pihak hospital memaklumkan bahawa penumpang wanita berusia 74 tahun itu telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon terbabit.

“Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Jasin bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post ‘JANGAN JUAL SEMULA MAKANAN TIDAK HABIS’
Next post MAIM IMARAH RAMADAN DI PULAU BESAR