
MELAKA LAKSANA 91 ‘JUALAN MURAH BERGERAK’ SEPANJANG RAMADAN
AYER KEROH 2 Mac – Sebanyak 113 Program Jualan Rahmah Madani termasuk 91 daripadanya secara bergerak akan dilaksanakan sekitar Melaka sepanjang Ramadan termasuk jualan mantai menjelang Syawal nanti.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, langkah itu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Katanya, program Jualan Rahmah Madani itu merupakan antara inisiatif berterusan dalam menangani isu kos sara hidup, terutama ketika permintaan barangan meningkat menjelang musim perayaan.
“Daripada keseluruhan 113 program yang dirancang, 22 dilaksanakan di premis tetap manakala 91 lagi melalui konsep jualan bergerak di lokasi strategik seluruh negeri ini.
“Pendekatan jualan bergerak membolehkan lebih ramai penduduk, termasuk di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, menikmati tawaran harga istimewa tanpa perlu ke lokasi yang jauh.
“Program ini memberi fokus kepada barangan keperluan asas yang sering menjadi pilihan utama rakyat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri nanti,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Allex memaklumkan antara jualan barangan asas yang dijual antaranya termasuk kerisik, planta, kacang tanah, kurma, ayam, daging segar serta ketupat segera.
“Harga yang ditawarkan melalui Jualan Rahmah Madani adalah sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran biasa.
“Ini sekali gus membantu pengguna membuat persiapan berbuka puasa dan menyambut Syawal dengan lebih terancang.
“Kita komited memastikan bekalan barangan mencukupi dan program seperti Jualan Rahmah Madani ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


