
PPSPM MENGUKIR SENYUMAN SEPANJANG RAMADAN
BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Inisiatif kongsi rezeki diteruskan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sepanjang Ramadan dengan menyantuni golongan asnaf serta mereka yang kurang berkemampuan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan mengimarahkan Ramadan malah lebih utama ia mengukir senyuman pada wajah setiap individu memperoleh manfaat hasil inisiatif dilaksanakan oleh pihaknya.
Shaharul berkata, program disusun sepanjang Ramadan itu juga menjadi bukti komitmen berterusan PPSPM terhadap tanggungjawab sosial menerusi kerjasama dengan institusi masjid dan surau bertujuan menyantuni masyarakat di negeri ini.
“Setiap Jumaat kami menyumbang air balang untuk orang ramai berbuka puasa di Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama. Selain itu kami turut menyumbang juadah berbuka kepada Masjid Kampung Hulu dan Masjid Ubudiah, Ramuan China Kechil.
“Sumbangan disalurkan ini diharap sedikit sebanyak meraikan kariah setempat dan menyemarakkan semangat kebersamaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain itu pihaknya menerusi Kelab PPSPM memperluaskan lagi sumbangan bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan mengadakan program bubur lambuk.
“Program memasak bubur lambuk secara gotong-royong ini dijadualkan pada 5 Mac (Khamis) membabitkan Masjid Fathur Rahman serta Madrasah Pengkalan Rama.
“Pelaksanaan pelbagai program sepanjang Ramadan secara tidak langsung mencerminkan peranan aktif PPSPM dalam mendekati komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


