
POLIS SERBU RUMAH DI BANDA HILIR, JUMPA DADAH BERNILAI RM226,500
AYER KEROH 2 Mac – Polis menyerbu sebuah rumah di Banda Hilir yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dadah sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun bersama rampasan bernilai RM226,500, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan di sebuah rumah berjaya menemui dan merampas 87 botol serta 15 tin berisi cecair disyaki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan jumlah isipadu 37.89 liter bernilai RM35,700.
“Turut dirampas 138 peket berisi serbuk disyaki dadah jenis sama dengan anggaran berat 6.052 kilogram yang dianggarkan bernilai RM190,800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM226,500 dan kesemua dadah itu dipercayai untuk pasaran Melaka.
“Siasatan lanjut mendapati setiap botol minuman disuntik dengan kandungan dadah sebelum dijual dengan harga antara RM150 hingga RM200 sebotol manakala setiap peket serbuk dadah dijual antara RM250 hingga RM300.
“Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah Honda City dan sebuah motosikal Honda Icon dengan nilai keseluruhan sitaan RM35,000,” katanya.
Christopher berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine manakala semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod dadah.
Katanya, suspek direman tujuh hari bermula 26 Februari hingga esok dan tempoh reman dijangka disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


