Sorting by

×

BUKAN SEKADAR JAMUAN, TAPI KENANGAN RUMAH TERBUKA ‘TOK RAOP’ PALING ISTIMEWA

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 14 April – Kemeriahan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua malam tadi nyata meninggalkan kenangan manis buat ribuan pengunjung yang hadir, termasuk mereka yang sanggup datang seawal malam demi merasai suasana penuh gilang-gemilang itu.

Bagi Nur Afiqah Kamarudin, 27, dari Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, keterujaannya jelas terpamer apabila sanggup hadir seawal jam 8 malam bersama rakan sekerja selepas mengetahui mengenai kehadiran artis terkenal seperti Datuk Seri Rossa dan Cakra Khan.

Menurutnya, maklumat mengenai majlis itu bukan sahaja diperoleh menerusi media sosial kerajaan negeri, malah menjadi topik bualan di tempat kerjanya.

“Biasanya tiket konsert mahal, tapi dekat sini rakyat boleh nikmati secara percuma. Saya bukan asal Melaka, tapi bekerja di sini dan rasa Datuk Rauf memang dekat dengan rakyat. Banyak program dibuat untuk santuni masyarakat,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.

6260426936215605850
NUR AFIQAH.

Tambahnya lagi, hidangan yang disediakan juga menepati citarasa pengunjung.

“Saya tak makan kambing, tapi di sini memang tak berbau dan sedap,” ujarnya.

6260426936215605855
AZRIF HAKIMI.

Sementara itu, Azriff Hakimi Azman, 33, dari Tampin berkata, beliau tidak pernah melepaskan peluang menghadiri majlis tersebut setiap tahun dan menyifatkan edisi kali ini sebagai yang paling meriah setakat ini.

“Ini kali ketiga saya datang, dan tahun ini memang lagi ‘havoc’. Dari segi makanan, artis jemputan hingga suasana, semuanya lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Rasa macam pergi konsert betul, siap ada Rossa dan Cakra Khan, tapi percuma untuk rakyat. Memang puas hati,” katanya.

Beliau turut berharap program seumpama itu diteruskan kerana mampu menyatukan rakyat.

“Kalau Melaka sayang rakyat, rakyat pun sayang Melaka dan kepimpinan. Kemeriahan macam ini memang dirindui,” tambahnya.

6260426936215605859
ROSLINA.

Bagi Roslina Sainuddin, 50, yang berasal dari Sabah namun kini menetap di Taman Seri Gamelan, majlis tersebut menjadi acara tahunan yang tidak pernah dilepaskan sejak beliau berpindah ke Melaka pada 2022.

“Setiap tahun saya datang. Lepas Maghrib terus datang bersama keluarga. Makanan semua sedap, artis pun menarik.

“Apa yang dibuat ini memang untuk rakyat. Bukan sahaja orang Melaka, malah luar negeri pun datang,” katanya.

Menurutnya, usaha penganjuran program seperti itu wajar diteruskan kerana mampu mengeratkan hubungan antara rakyat dan kepimpinan negeri.

“Program seperti ini penting untuk satukan rakyat. Memang terasa ‘Melaka Sayang Rakyat’ itu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post 26 LAMPU SOLAR TERANGI TANAH PERKUBURAN, LALUAN GELAP SEKITAR DUN BEMBAN
Next post SEKOLAH DI MELAKA DIBENAR HENTI AKTIVITI LUAR, TUTUP OPERASI JIKA SUHU TERLALU TINGGI